Valentino Rossi Jr Dari Terengganu ‘pukau’ Orang Ramai.

KUALA NERUS: Usianya baru enam tahun, namun nama Qabil Irfan Azlan kini harum dan meniti di bibir peminat sukan permotoran di negara ini.

Usia muda bukan penghalang untuk kanak-kanak ini mempamerkan kehebatan, malah berjaya menundukkan pelumba lain yang jauh lebih tua daripadanya dalam beberapa kejohanan motosikal mini (mini bike) di seluruh negara.

Lebih mengagumkan, ‘rider’ cilik itu hanya mengambil masa tiga bulan untuk berlatih sebelum menyertai pertandingan lumba motosikal mini pertamanya sekitar empat tahun lalu.

Bapanya, Azlan Abd Rahman, 42, berkata Qabil Irfan, yang juga dikenali sebagai Valentino Rossi Jr, memenangi banyak kejohanan, antaranya di USJ, Subang Jaya, baru-baru ini dalam kategori bawah 17 tahun dan bawah lapan tahun.

“Memang dia berbakat besar dan ia adalah anugerah semula jadi. Walaupun bekas pelumba cub prix, saya tidak pernah memaksa Qabil meminati motosikal, jauh sekali mendorongnya menjadi seorang pelumba.

“Tetapi, pada usia dua tahun, dia sudah menunjukkan minat yang mendalam terhadap sukan permotoran.

“Saya sendiri hairan dengan keberanian dan bakat semula jadinya, malah dia mampu menguasai teknik yang diajar dalam tempoh singkat,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Kedai Koperasi Permotoran Terengganu Darul Iman Bhd di Ekspo Terengganu 2018, di sini, hari ini.

Qabil Irfan yang dilantik sebagai Ikon Permotoran Terengganu, mempamerkan aksinya menunggang motosikal mini pada ekspo itu, disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyempurnakan majlis berkenaan.

Yang turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman serta Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat.

Sementara itu, Rozi berkata, kedai koperasi permotoran itu memberi peluang kepada anak muda membeli peralatan dan alat ganti motosikal pada harga berpatutan.

“Kedai ini dimiliki Persatuan Permotoran Negeri Terengganu, yang mempunyai 1,000 ahli. Ia tentunya memudahkan mereka mencari peralatan dan alat ganti motosikal.

“Saya harap pada masa akan datang, ahli kelab permotoran di negeri ini membuka sendiri koperasi seperti ini,” katanya.

Sumber : bharian.com.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*