Pengantin Doraemon Bersanding Solo Tarik Perhatian Orang Ramai

PETALING JAYA: Pelbagai idea, konsep dan kreativiti dicetuskan bakal pengantin untuk mengabadikan hari bersejarah dalam hidup mereka.

Masing-masing tidak mahu kalah dalam soal gaya, dan begitu juga pasangan pengantin ini yang memilih watak kartun popular dari Jepun, Doraemon untuk pakaian pengantin.

Selain Doraemon yang merupakan robot kucing jantan sebagai watak utama, karakter lain seperti Nobita, Shizuka, Suneo dan Giant menghiasi busana pengantin, lengkap bersamping, dimuat naik di akaun Facebooknya pada Jumaat, sehingga menjadi tular.

Namun gambar-gambar tersebut hanya memaparkan pengantin lelaki tanpa pasangannya, seolah-olah ‘bersanding’ di atas pelamin bersendirian, sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen.

Bercakap kepada mStar Online, pengantin lelaki berkenaan, Mohd Firdaus Mohd Ali, 33, berkata, dia merupakan peminat tegar Doraemon sejak kecil kerana jalan ceritanya yang menarik dan menghiburkan terutama ketika dilanda masalah.

“Bukan minat tengok kartun saja, tapi saya juga membaca komik serta mempunyai pelbagai barangan Doraemon seperti baju, tuala, bantal dan selimut.

“Jadi, saya memilih konsep Doraemon untuk baju pengantin bagi majlis persandingan kami di sebelah pengantin perempuan di Kota Bharu, semalam (Jumaat),” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Disebabkan kesibukannya sebagai usahawan kosmetik, Mohd Firdaus berkata, mereka hanya menetapkan konsep baju pengantin kira-kira sebulan sebelum majlis persandingan

Tambah anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, kain bercorak Doremon itu telah dibeli di Jakarta pada Disember tahun lalu, dan mencadangkan kepada bakal isterinya untuk dijadikan sebagai busana pengantin.

“Pada awalnya, baju pengantin Doraemon ni dirancang untuk pakai semasa sesi fotografi saja. Tapi, kira-kira lima hari sebelum majlis kahwin, saya cakap dengan tunang yang saya mahu pakai baju ni di atas pelamin.

“Dia memang tak nak, katanya malu nanti orang kata macam-macam. Tapi, saya pujuk dia, saya kata ‘kalau you sayangkan I, pakai kejap pun tak apa’.

“Walaupun dalam keadaan terpaksa, tapi dia kata boleh untuk buktikan cinta dia pada saya,” katanya yang bersanding selama kira-kira sejam pada Jumaat.

Sejak awal menjalinkan hubungan cinta selama empat tahun lalu sebelum memutuskan untuk ke jenjang pelamin, Mohd Firdaus berkata, isterinya yang berusia 33 tahun dan lebih mesra dengan panggilan Ana, mengenali dirinya menggemari kartun Doraemon.

Namun isterinya yang merupakan ahli perniagaan itu tidak menyangka kartun yang menjadi kegilaan kanak-kanak itu menjadi konsep busana pengantin mereka.

“Memang dia (isteri) sangat terkejut. Dia seorang yang pemalu, pendiam, sensitif… tapi dia seorang yang baik dan sangat memahami saya,” katanya.

Mohd Firdaus menjelaskan bahawa sebenarnya terdapat gambar-gambar yang dirakamkan bersama pengantin perempuan juga dalam persalinan busana Doraemon, tetapi tidak dimuat naik buat sementara waktu, atas permintaan isteri.

“Saya juga faham keadaan dia. Buat masa ni, saya hanya muat naik gambar saya pakai baju Doraemon tu. Kalau dia dah bersedia, baru saya paparkan.

“Di atas kesanggupan dia, saya pujuk dengan menghadiahkan percutian bulan madu di Eropah seperti Balkan, Bosnia dan Croatia serta Greece, yang dirancang pada bulan depan. Harap isteri gembira dengan hadiah perkahwinan ini,” katanya.

SUMBER : Mstar

1 Trackback / Pingback

  1. Pengantin Doraemon Bersanding Solo Tarik Perhatian Orang Ramai – 100

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*