Mira Filzah Kesal Dikatakan Sindir Menteri Ijazah Palsu

PELAKON Mira Filzah menyangkal dakwaan dirinya ada memuat naik sebarang gambar atau status kononnya menyindir beberapa menteri yang dikaitkan dengan penipuan ijazah palsu.

Mira berkata, laman Facebook yang membuat penyebaran mengenai perkara itu adalah bukan miliknya dan meminta pihak yang menuduhnya agar menyemak kesahihan terlebih dahulu sebelum melemparkan tuduhan terhadapnya.

“Saya tidak berminat untuk terlibat dalam perdebatan media sosial tapi untuk menjernihkan keadaan, ini adalah akaun palsu dan bukan akaun Facebook saya.

“Sesiapa sahaja yang berkenaan sepatutnya semak terlebih dahulu,” katanya di Twitter.

Pada Selasa lalu, akaun Facebook menggunakan nama Mira.filzah memuat naik gambar aktres itu ketika hari konvokesyennya dengan kapsyen “Ijazah Perniagaan Antarabangsa di UITM Shah Alam. Ijazah ‘ori’ bukan ‘copy’ tau”.

Ia telah menimbulkan kemarahan segelintir pihak yang tanpa usul periksa menuduh Mira menghina menteri dan menggesa dia membuat permohonan maaf.

Malah ada pihak yang meminta pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil tindakan terhadapnya serta memboikotnya.

Sementara itu, pengurus laman Facebook tersebut tampil menjelaskan kenyataan bahawa posting itu bukan ditulis atau dimuat naik oleh Mira.

Jelasnya, profil tersebut sebenarnya adalah laman peminat dan tiada kena mengena dengan aktres itu malah ia telah dijelaskan menerusi ruang info laman Facebook itu.

“Page ini sebenarnya hanya laman peminat untuk Mira Filzah sahaja. Perkara tersebut telah ditulis di ruangan Story sejak dari awal penubuhan page ini dengan tajuk Mira Filzah Fans.

“Wallpaper page ini juga diletakkan gambar tertulis @mira.filzah.lovers,” kata pengurus profil berkenaan di Facebook.

Sehubungan itu, mereka turut memohon maaf kepada Mira kerana telah mencemarkan reputasinya sebagai artis.

“Posting tersebut hanya sekadar gurauan tapi tak sangka telah diviralkan sebegitu rupa. Sekali lagi kami admin dengan penuh penyesalan memohon kemaafan,” katanya.

SUMBER:MSTAROnline

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*