Janna Nick Bagi Pesanan Padu Bagi Haneesya Hanee Yang Dilucutkan Gelaran Dewi Remaja

KONTOVERSI bekas juara Dewi Remaja 2018/2019 iaitu Haneesya Hanee yang dilucutkan gelaran kerana terlibat dalam aktiviti tidak bermoral mendapat perhatian Janna Nick yang berkongsi nasihat untuk wanita itu.

Janna berkata, dia berharap agar Haneesya Hanee mengambil kejadian yang berlaku itu sebagai satu pengajaran agar menjadi insan yang lebih baik.

“Anggap ini satu pengajaran kepada anda supaya menjadi orang lebih baik. Jangan tertekan dengan perkara itu. Teruskan kehidupan.

“Jika tidak ia akan membuatkan kamu alami depresi,” tulisnya di Instagram pada Khamis.

Dalam pada itu, Janna berharap wanita itu tidak mengulangi kesilapan tersebut dan perlu bergaul dengan individu yang lebih positif.

“Jangan ulangi dan bergaullah dengan orang-orang yang baik. Jangan mudah percaya orang,” ujarnya.

Dalam perkongsiannya di Instagram itu Janna berkata pada mulanya dia kecewa melihat video di pusat hiburan itu tersebar namun dia turut berasa kasihat selepas gelaran itu ditarik balik.

Pada Isnin lalu, video sebilangan peserta program Dewi Remaja termasuk juaranya iaitu Haneesya Hanee yang berhibur sambil minum arak di kelab malam tersebar di internet.

Perkara itu menimbulkan kontroversi dan rasa kurang senang masyarakat terhadap gelaran juara yang seharusnya menjadi ikon dan contoh kepada masyarakat.

Bagaimanapun pada Khamis, pihak penganjur membuat keputusan menarik gelaran itu yang diberikan kepada Haneesya Hanee.

Pada Ahad lalu Haneesya Hanee atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Sayed Sahlan, 18, dinobatkan sebagai juara Dewi Remaja 2018/2019 yang membolehkan dia menerima mahkota, trofi dan wang tunai.

Bagaimanapun gelaran itu gugur kerana penglibatannya dalam aktiviti tidak bermoral yang mana ia melanggar syarat kontrak yang dipersetujui.

Pesta arak… Haneesya Hanee mengaku salah, gelaran juara Dewi Remaja dilucutkan

MALANG nasib juara Dewi Remaja 2018/2019 iaitu Haneesya Hanee apabila penyebaran video pesta arak melibatkannya menjadi punca kemenangan dia dalam pertandingan dilucutkan.

Penarikan gelaran itu diumumkan oleh Pengarang Majalah Remaja iaitu Faiz Aimman selepas pihaknya berasa kesal dengan insiden tersebut apabila perserta terbabit melanggar syarat penyertaan dan kontrak pertandingan itu.

Dalam sidang media itu Hanee atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Sayed Sahlan, 18, turut berharap semua pihak berhenti menyalahkan ibunya kerana apa yang terjadi merupakan kesalahan dia sendiri.

“Pertama kali saya nak minta maaf sangat-sangat. Ia sesuatu kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku. Saya mengaku itu salah dan perbuatan saya.

“Saya tak tahu kenapa dan tidak menjangka akan jadi macam ini. Saya sendiri terima keputusan pihak penganjur menarik balik gelaran tersebut.

“Saya minta maaf sebab dah rosakkan nama Dewi Remaja dan saya minta orang berhenti bercakap ini salah mak saya yang tak reti menjaga saya.

“Ni semua atas perbuatan saya. Pilihan saya. Mak saya tiada kaitan. Kalau boleh, biarkan mak saya sendirian, semua salah saya, keputusan saya,” katanya sambil menitiskan air mata dalam video secara yang disiarkan menerusi Facebook majalah berkenaan.

Selain Hanee, sidang media tersebut turut dihadiri wakil pihak penganjur, NU Ideaktiv Sdn Bhd yang memiliki jenama berkenaan dan pemenang tempat kedua pertandingan itu, Tia Sarah.

Dalam pada itu, pihak penganjur memberitahu walaupun gelaran tersebut telah ditarik namun tiada peserta lain yang akan diangkat menjadi juara sebaliknya pemenang lain akan kekal pada kedudukan masing-masing.

“Kami mengambil keputusan untuk menarik semula gelaran Juara Dewi Remaja 2018/2019 yang disandang oleh Hanee.

Namun, tiada sesiapa yang akan mengantikan atau mengambil gelaran tersebut.

“Keputusan itu dibuat kerana kami ingin menjaga kredibiliti jenama kami dan mengekalkan tiada pemenang untuk edisi kali ini.

“Manakala, pemenang-pemenang seperti tempat kedua, ketiga dan lain-lain masih kekal yang sama. Mereka akan mewakili Dewi Remaja untuk sebarang aktiviti,” kata Faiz.

Isu berkenaan telah menjadi perdebatan hangat netizen termasuklah mempertikaikan kredebiliti juara pertandingan itu selepas tersebarnya video pada Isnin lalu memperlihatkan Hanee bersama rakan-rakannya berpesta sambil minum arak.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira sebulan sebelum pertandingan berkenaan diadakan.

Episod akhir pencarian Dewi Remaja 2018/2019 telah berlansung di Visual Three Studio, Sri Kembangan pada Ahad lalu menyaksikan Hanee dinobatkan sebagai Juara.

Manakala gelaran naib juara pula disandang oleh Tia Sarah dan tempat ketiga dimenangi oleh Sherin Amiri.

Tempat keempat disandang oleh Anna Jobling, peserta bernama Affie Rania pula mendapat tempat kelima. Selain itu, gelaran Dewi Favorite yang dipilih peminat menerusi laman web majalah Remaja disandang oleh Arena Iman.

Peserta dari Kelantan, Aween Ismail yang terpaksa menarik diri kerana masalah kesihatan berjaya menyandang gelaran Dewi Inspirasi.

Dalam sidang media berkenaan, Hanee turut menyerahkan kembali mahkota, trofi dan selempang yang diterimanya Ahad lalu kepada pihak penganjur.

SUMBER:MSTAR

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*