Ikan Kembung Dijual Dengan Harga Serendah 5 Sen Seekor Menjadi Rebutan.

SUNGAI PETANI- Sebuah kedai menjual hasil tangkapan ikan dan hasil laut berdekatan Masjid Al-Majidi, Kampung Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah menjadi tumpuan orang ramai apabila kedai ini menjual ikan kembung atau ikan temenung dengan harga serendah 5 sen hingga 30 sen seekor.

Penduduk tempatan mula beratur seawal jam 2 petang untuk mendapatkan maklumat mengenai ikan kembung murah tersebut yang telah menjadi tular sejak beberapa hari yang lalu.

Kredit : Kosmo Online

Salah seorang pelanggan, Noraliza Ismail, 38 tahun yang berasal dari Kampung Zainal Abidin, Bedong, berkata dia berada di lokasi sejak jam 2 petang supaya tidak terlepas peluang untuk mendapatkan bekalan ikan murah tersebut.

Menurut Noraliza kepada BERNAMA, “Orang ramai memang telah menunggu dari awal, sekejap sahaja ikan 5 sen ini habis dijual. Saya sempat membeli 40 ekor ikan temenung yang dijual pada harga 5 sen seekor dan 20 ekor lagi dengan harga 30 sen seekor.”

Noraliza menambah, dia sudah sedia maklum mengenai kedai tersebut yang sering menawarkan harga jualan hasil laut dengan nilai yang lebih murah dari harga pasaran dan telah berkunjung ke kedai tersebut sebanyak lima kali, di waktu promosi jualan murah sedang diadakan.

Kredit : BERNAMA

Pemilik kedai ikan tersebut, Khairol Azelan Johari, 37 tahun berkata, sebanyak 10,000 ekor ikan kembung dengan harga 5 sen dan 6,000 ekor ikan kembung dengan harga 30 sen telah habis terjual dalam masa 30 minit sebaik sahaja kedai dibuka pada jam 3 petang.

Khairol Azelan berkata, “Baki ikan kembung dijual pada harga 30 sen seekor dan semuanya habis pada pukul 5 petang. Dari segi harga, ia bergantung kepada bekalan. Kalau dapat murah, kami akan menawarkan harga murah. Setakat ini kami pernah menjual ikan temenung pada harga 5 sen, 10 sen dan 30 sen seekor.”

Menurut Khairol Azelan, bekalan ikan kembung dan hasil laut lain diperolehi dari Kuala Kedah, Kuala Perlis, Kuala Muda dan Tanjung Dawai.

Khairol Azelan menambah, “Selain ikan temenung, kami juga ada membuat promosi harga murah bagi udang galah, yang dijual dari harga 70 sen hingga RM1.00 seekor dan ikan cencaru dengan harga 20 sen seekor. Semuanya bergantung kepada bekalan yang diperolehi.”

Ujar Khairol Azelan lagi, “Kedai kami dibuka setiap hari bermula jam 3 petang, tetapi pada waktu promosi harga murah, ia akan dimaklumkan menerusi laman Facebook atas nama ‘Khairol Azelan’.”

Kredit : BERNAMA

Khairol Azelan yang sudah berpengalaman selama lebih 11 tahun dalam dunia perniagaan berkata, promosi tersebut akan diteruskan dan diharap akan dapat membantu meringankan perbelanjaan harian pelanggannya.

Katanya, “Niat saya ialah untuk berkongsi dan bersedekah. Lagi pun ini juga adalah satu cara untuk saya mempromosikan pasar kampung yang sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu, untuk menarik lebih ramai pelanggan.”

Akhir kata daripada peniaga hasil laut ini, “Hari ini saya terpaksa hadkan jualan ikan temenung kepada 40 ekor seorang bagi harga 5 sen dan 20 ekor seorang bagi harga 30 sen, supaya semua pelanggan mendapat giliran masing-masing untuk membeli setelah menunggu lama. Saya amat berterima kasih kepada semua pelanggan yang memberikan sokongan.”

Sumber : BERNAMA/Facebook, Siakap Keli
Kredit : Era Baru

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*