Demi Awek Tercinta Lelaki Ini Buat Empat Kerja Serentak

PETALING JAYA: Bagi sesetengah individu, satu pekerjaan sudah cukup untuk buat mereka ‘pening kepala’.

Tapi bagaimana dengan mereka yang melakukan empat kerja serentak? Kedengaran mustahil, namun itulah yang dilakukan oleh seorang pemuda demi mengumpul wang untuk melangsungkan perkahwinan.

Berkongsi kisah itu menerusi laman Twitter, kesungguhan Amin Fadhil Shaari, 24, menarik perhatian ramai.

Menurut pemuda yang berasal dari Wangsa Maju ini, dia menyimpan hasrat untuk membina mahligai rumah tangga dalam tempoh dua tahun lagi.

“Sebelum ini saya buat tiga kerja sahaja. Saya menawarkan perkhidmatan membaiki telefon, berniaga air koko di pasar malam dan membantu keluarga jual baju di Jalan Tun Abdul Razak (TAR).

“Sekitar sebulan lalu, saya tambah lagi satu kerja, saya buat khidmat penghantaran makanan Foodpanda.

“Bagi saya, makin cepat saya kumpul duit tu, lagi cepat majlis kahwin dapat dilangsungkan. Kalau boleh nak dipercepatkan,” ujarnya sewaktu dihubungi mStar Online, Khamis.

Dalam pada itu, Amin juga tidak menyangka perkongsiannya di Twitter berupaya membuka peluang rezeki dan membantu dirinya mengumpul pelanggan baharu.

Tweet berkenaan menerima reaksi luar biasa netizen apabila ia menerima lebih 21,000 ulang kicau (retweet).

“Kalau sebelum ni, perkhidmatan membaiki telefon yang saya usahakan menerima sekitar tiga atau empat pelanggan je dalam seminggu.

“Selepas viral, dalam sehari saya dapat tiga empat orang. Kuasa viral kalau digunakan dengan betul, pastinya bermanfaat,” katanya lagi.

Rata-rata netizen turut memberi kata-kata sokongan dan menyifatkan usahanya sebagai satu pengorbanan yang mulia.

“Aku doakan agar usaha kau diberkati dan diterima sebagai amal. InsyaAllah majlis kahwin tu perkara mudah,” tulis @M_Al_Fitri.

“Saya bangga ada anak muda yang tekun berusaha untuk apa yang ingin dicapai. Semoga Allah berikan rezeki yang kamu ingini,” tulis @polarbearz8 pula.

Berhubung reaksi positif netizen yang membanjiri tweet berkenaan, Amin mengakui terharu dengan sokongan yang diberikan.

“Setakat ini saya tak pernah rasa nak putus asa walaupun buat empat kerja. Kalau penat, tidur. Bangun esok OK lah.

“Saya terharu ramai yang doakan saya, jadi pelanggan saya. Terima kasih sebab bagi sokongan dan sudi bagi rezeki pada saya,” ujarnya lagi.

SUMBER : Mstar

1 Trackback / Pingback

  1. Demi Awek Tercinta Lelaki Ini Buat Empat Kerja Serentak – 100

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*