Cara Mudah Untuk Bagi Kereta Anda Berbau Harum Seperti Kereta Baru.

Kereta bau busuk? Kami nak ajarkan satu cara untuk memastikan kereta anda sentiasa wangi malah tak salah rasanya jika untuk mengatakan bau yang dihasilkan adalah sama seperti baru keluar dari showroom.

Kebiasaannya perihal mengenai kereta hanya melibatkan golongan lelaki, malah ada yang sanggup menghabiskan sejumlah wang yang banyak semata-mata untuk memastikan keadaan kereta mereka sentiasa berada di dalam keadaan tip-top tidak kira di dalam mahupun di luar.

Terima kasih kepada pengguna instagram, Ahmad Aizatnur Zakaria yang sudi berkongsi tips bagi mengekalkan bau asal, semulajadi sebuah kereta. Bahan yang digunakan pula adalah murah dan sentiasa berada di dalam rumah kita. Tak salah mencuba bukan? Berikut adalah cara-cara yang ditunjukkan olehnya:

Sediakan 1 bekas plastik. Ambil 1 getah gelang.Ambil sehelai kertas tisu.Satu sudu besar kopi.
Letak dalam bekas, tutup dengan tisu dan ikat dengan getah lalu simpan di bawa kerusi kereta anda. Sifat kopi menghilangkan bau. Boleh juga diganti dengan hirisan daun pandan.

Insyaallah, kita terhindar dari pemakaian pewangi sintetik kimiawi yang dapat merosak paru-paru dan jimat ratusan ringgit per tahun utk membeli pewangi kereta.Selamat mencuba dan jangan sekali kali tukar kopi dengan serbuk teh kerana lain baunya nanti!

7 CARA HILANGKAN BAU KERETA MENGGUNAKAN BAHAN SEMULAJADI
Selain menggunakan ‘air-freshener’ atau bahan pewangi yang dijual di pasaran, anda boleh menggunakan beberapa cara hilangkan bau kereta secara semulajadi. Selain menjimatkan, anda tidak perlu risau kesan bahan kimia. Berkesan!

1. ARANG
Sebelum anda mewangikan kereta, perkara pertama yang mungkin anda perlu pertimbangkan adalah meneutralkan bau busuk, hapak, atau kepam yang dah sedia ada dalam kereta.

Contohnya, kalau ada bau durian, bau bangkai, atau bau muntah – tentu kita perlu hilangkan bau ini terlebih dahulu, bukan? Kalau tiba-tiba disembur pewangi, boleh jadi lebih pening dengan kombinasinya.

Oleh itu, anda boleh mengambil beberapa ketul arang untuk menyahkan bau kurang enak tersebut. Cara pertama, letakkan arang dalam bekas ‘tupperware’ dan biarkan terbuka di lantai kereta. Cara kedua, bungkuskan arang dengan tisu atau beg kain dan letak berhampiran kawasan yang berbau.

Memang ada dijual yang siap macam dalam gambar di bawah ini. Tapi, kalau buat sendiri bukannya susah. Jimat dan berbaloi!

2. SODA PENAIK
Kalau tak ada arang, soda penaik atau ‘baking soda’ adalah satu lagi cara hilangkan bau kereta yang berkesan.

Anda boleh meletakkan satu bekas ‘tupperware’ yang berisi soda penaik ke dalam kereta seperti arang di atas. Satu lagi cara, kalau anda berhasrat nak cuci dan vakum kereta, taburkan dulu soda penaik ini ke atas lantai kereta atau bahagian yang berbau kuat. Biarkan 2-3 jam untuk ia menyerap bau. Kemudian, boleh vakum.

Selalu juga orang gunakan teknik ini untuk menghilangkan bau hancing pada tilam kerana ia efektif untuk menyerap bau.

3. SERBUK KOPI / TEH
Sebagai alternatif, anda boleh cuba cara hilangkan bau kereta dengan menggunakan serbuk kopi atau teh. Kedua-dua bahan ini berkesan menyerap aroma yang kurang sedap dalam kereta. Boleh rujuk cara di bawah ini. Senang saja. Nak guna uncang teh / kopi terus pun boleh.

Mungkin lebih ramai suka gunakan kopi kerana baunya pun harum, segar biji mata! Tapi seeloknya, kalau guna serbuk kopi, pilihlah jenis serbuk kopi yang selalu dibuat kopi ‘o’, bukan jenis ‘instant’ seperti Nescafe apa-apa yang 3-in-one ya. Serbuk kopi ‘instant’ senang larut kalau terkena air. Nanti habis berwarna perang dan rosak pula kain uncang yang digunakan ini.

4. DAUN PANDAN
Bila bau busuk dalam kereta dah hilang, bolehlah tambah keharuman menggunakan daun pandan. Seperti yang kita tahu, daun pandan mempunyai aroma yang wangi dan menyegarkan, sebab itulah ia digunakan sebagai bahan asas dalam bunga rampai.

Siapa yang ada daun pandan di belakang rumah, keratkan 2-3 helai dan ikatkan. Kemudian letakkan di bawah tempat duduk atau di mana-mana ruang dalam kereta.

Kalau nak lebih berkesan, hiriskan daun pandan kecil-kecil dan letakkan dalam beg kain yang berlubang-lubang. (Macam ‘goodie bag’ yang selalu dapat dari rumah kenduri kahwin). Kemudian, gantungkan dalam kereta. Memang harum semerbak!

Tapi, jangan lupa menggantikannya dalam tempoh 2-3 minggu. Bila dah kering dan layu, baunya pun akan hilang sekali.

5. LEMON / LIMAU KASTURI
Kalau ada sebarang tumpahan, basuhkan seperti biasa. Kemudian, perahkan lemon atau limau kasturi pada bahagian yang tak hilang baunya. Biarkan seketika sebelum membilas seperti biasa.

Jus lemon atau limau kasturi juga boleh dibuat ‘spray’ kereta semulajadi. Perahkan pati lemon tadi dengan sedikit air dan campurkan sedikit cuka kerana ia boleh melawan kulat dan bau hapak. Kemudian, ‘spray’ pada bahagian dalaman kereta.

Selain buah limau itu, daunnya pun boleh digunakan dengan cara mencincang halus seperti daun pandan tadi.

Buah limau purut mempunyai 1001 kegunaan

6. ANGINKAN / JEMUR
Kereta mungkin berbau apabila baru pulang dari pasar membeli barang basah seperti ikan, sotong, daging, dan sebagainya. Selalulah menjemur atau menganginkan kereta untuk memberi pengudaraan yang baik. Dengan cara ini, bauan yang terperangkap dapat keluar dengan cepat.

Teknik yang mudah adalah buka pintu kereta, hidupkan enjin dan biarkan ‘fan’ berpusing selama lebih kurang 5 minit pada kelajuan maksimum. Jika mahu, semburkan sedikit ‘spray’ yang anda buat sendiri atau apa-apa pewangi yang anda suka ke dalam ‘air cond’.

7. CUCI SECEPAT MUNGKIN JIKA BERLAKU TUMPAHAN
Lain kali, sekiranya berlaku sebarang tumpahan makanan atau minuman dalam kereta, pastikan anda mengelapnya secepat mungkin. Lebih cepat dicuci, lagi mudahlah menanggalkan baunya.

PANTAU KEBERSIHAN DENGAN KERAP
Bau hapak, kepam atau tengik menandakan ada air bertakung dalam kereta anda yang mungkin berpunca daripada masalah pintu atau pengedap tingkap yang bocor. Selain itu, kerosakan komponen tertentu dalam kereta boleh menyebabkan bau sulfur (seperti telur tembelang atau telur busuk), bau gas, atau bau minyak di dalam kereta.

Pastikan tiada objek yang terbiar lama di dalam kereta. Jika anda telah mencuba pelbagai cara hilangkan bau kereta tetapi gagal, mungkin kereta anda perlukan perhatian khusus.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*